Seremban, 17 Oktober 2025 – Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi bakal menjadi tumpuan malam esok apabila Negeri Sembilan FC menerima kunjungan Selangor FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA 2025/2026.
Perlawanan ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila sebanyak 25,550 tiket telah habis dijual sebelum hari perlawanan berlangsung, menjadikan ia antara perlawanan dengan kehadiran penonton tertinggi di Paroi musim ini.
Untuk rekod, kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada 24 Ogos 2025 dalam saingan Liga Super, yang menyaksikan Negeri Sembilan FC mencatat kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC. Keputusan tersebut pastinya memberi suntikan motivasi kepada skuad Jang menjelang pertemuan penting ini.
Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil, menyifatkan Selangor FC yang merupakan finalis Piala FA musim lepas, memiliki semua kualiti untuk ke perlawanan akhir.
“Kami juga bercita-cita untuk melangkah jauh dalam saingan Piala FA ini dan perlu gunakan kelebihan bermain di halaman sendiri.
“Perlawanan suku akhir ini akan berlangsung selama 180 minit. Apa-apa yang positif dalam perlawanan suku akhir pertama, kita akan bawa ke perlawanan suku akhir kedua. Agak sukar untuk menyiapkan pasukan, tetapi tahap motivasi pemain sangat bagus.
“Dengan kehadiran 25,550 penyokong, saya rasa ia satu hadiah yang besar untuk pasukan. Ia satu tonik tambahan untuk kita lebih bertenaga. Penyokong akan sentiasa menjadi roh dan jiwa pasukan,” ujar beliau.
Berbekalkan sokongan padu penyokong setia di Paroi, Negeri Sembilan FC dijangka tampil dengan semangat juang tinggi untuk mendapatkan bekalan positif sebelum aksi timbal balik di Petaling Jaya. Suasana meriah di Stadium Tuanku Abdul Rahman pastinya bakal menjadi pemangkin tambahan buat anak buah Nidzam Jamil.
Apa pun keputusan perlawanan ini nanti, perjuangan masih panjang dalam misi melangkah ke separuh akhir. Negeri Sembilan FC kini bersedia memberikan segalanya di hadapan penyokong sendiri, demi mengulangi detik manis dalam kempen Piala FA yang kali terakhir dimenangi pada musim 2010.

