Seremban, 25 April 2025 – Negeri Sembilan FC hari ini mengumumkan pelanjutan kerjasama penajaan pusat latihan dengan Arena IRC Management, yang akan terus menjadi Penaja Rasmi Kemudahan untuk kelab bagi musim akan datang.
Kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada musim 2024/2025, membuktikan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam usaha memperkukuh infrastruktur dan kemudahan latihan Negeri Sembilan FC. Dengan pelanjutan ini, Arena IRC Management akan terus menyediakan kemudahan bertaraf tinggi untuk kegunaan pasukan utama dan skuad pembangunan. Arena IRC merupakan pusat latihan NSFC bagi skuad Liga Super pada musim 2024 – 2025 di Bandar Sri Sendayan.
Majlis menandatangani perjanjian ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus dan Pengerusi Arena IRC Management, Ragunathan Palanisamy.
Menurut Faliq Firdaus, “Pelanjutan penajaan ini bukan sahaja menunjukkan kepercayaan Arena IRC Management terhadap hala tuju Negeri Sembilan FC, malah ia juga memberi motivasi kepada kami untuk terus meningkatkan prestasi pasukan di dalam dan di luar padang. Ini juga akan memberi nilai tambah dan rujukan kepada kami dalam memiliki pusat latihan sendiri tidak lama lagi.”
Pengerusi Arena IRC Management, Ragunathan Palanisamy turut menzahirkan rasa bangga dapat meneruskan sokongan terhadap pembangunan sukan di Negeri Sembilan. “Kami percaya bahawa kemudahan yang baik adalah asas kepada kejayaan sesebuah pasukan, dan kami komited untuk bersama Negeri Sembilan FC dalam perjalanan ini.”
Negeri Sembilan FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Arena IRC Management atas sokongan yang berterusan, dan yakin bahawa kerjasama strategik ini akan terus membuahkan kejayaan bersama.