Pemain bek kiri, Azrin Afiq menyertai Negeri Sembilan FC bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Zamri Pin. Azrin menyertai skuad Jang secara pinjaman dari Selangor FC.
Pemain muda berusia 22 tahun itu dipinjamkan ke pasukan Kedah Darul Aman FC dari Selangor FC dalam saingan Liga Malaysia musim lepas. Azrin telah bermain sebanyak 9 perlawanan bersama pasukan dari utara tanah air itu.
Azrin juga merupakan antara pemain skuad kebangsaan bawah 23 tahun yang beraksi dalam saingan Piala Asia B-23 AFC 2022 yang telah berlangsung di Uzbekistan.
Menurut pemain muda ini, beliau menyertai Negeri Sembilan FC kerana ingin menambah pengalaman, disamping mencari minit permainan.
“Saya perlu berusaha lebih keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Pasukan ini dibarisi ramai pemain muda yang berkualiti dan kita harap dapat membantu pasukan mendapat keputusan yang lebih baik berbanding musim lepas,” ujar Azrin.
Skuad Jang membuat rombakan dengan membariskan ramai pemain muda seperti Amirul Hakim, Afiq Fitri, A.Selvan dan Harith Samsuri untuk bersaing dalam Liga Malaysia musim 2024 – 2025 ini.