Dzulfahmi Abdul Hadi Dipinjamkan Ke Gombak FC, Alifh Aiman Ke Bunga Raya Damansara FC

Dalam usaha memperkukuhkan skuad dalam saingan Liga Super musim ini, Negeri Sembilan FC (NSFC) mengumumkan beberapa perubahan melibatkan skuad utama pasukan itu.

Ia melibatkan peminjaman keluar pemain pasukan itu dengan menyaksikan Dzulfahmi Abdul Hadi dipinjamkan ke Gombak FC manakala Alifh Aiman pula dipinjamkan ke Bunga Raya Damansara FC. Kedua-dua pasukan ini beraksi dalam Liga A1 Semi-Pro MBSB Bank Championship 2024 – 2025.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, kelab tersebut telah meminjamkan dua pemain mereka ke kelab lain untuk mendapatkan lebih banyak masa permainan di Liga A1.

Menurut Faliq, keputusan untuk meminjamkan kedua-dua pemain itu dibuat selepas perbincangan bersama pasukan teknikal. Keputusan ini diambil demi memberi peluang kepada kedua-dua pemain ini untuk mengumpul lebih banyak minit permainan dan membantu meningkatkan prestasi mereka.

“Selepas perbincangan mendalam dengan pasukan teknikal, kami memutuskan untuk meminjamkan Dzulfahmi dan Alifh Aiman kepada Gombak FC dan Bunga Raya Damansara FC. Kami ingin memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan minit permainan yang lebih banyak, sekaligus membantu perkembangan karier mereka,” jelas Faliq.

“Kami juga sedang merancang untuk memperkukuhkan pasukan dengan beberapa penambahan baharu. Selepas menandatangani pemain tengah baharu, Sebastian Avanzini, kami juga telah menandatangani seorang pemain penyerang bagi memperbaiki barisan hadapan,” katanya lagi.

“Kelab juga telah menamatkan perkhidmatan pemain sayap berasal dari Korea Selatan, Lee Kwanghui. Perubahan ini mencerminkan usaha kelab untuk memastikan barisan pemain yang terbaik berada dalam pasukan bagi menghadapi cabaran yang akan datang,” ujar Faliq.

Dengan beberapa perubahan ini, NSFC berharap dapat memberikan impak yang lebih besar dalam baki musim ini dan mencapai sasaran yang ditetapkan. Skuad bimbingan K.Nanthakumar ini dijadualkan bertemu Kelantan Darul Naim FC dalam aksi Liga Super pada 27 September 2024 di Paroi.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us