Negeri Sembilan FC (NSFC) terus memberi peluang kepada bakat muda dengan menandatangani enam graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD). Pemain-pemain ini telah melalui proses pembangunan bola sepak yang tersusun dan kini bersedia untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi bersama pasukan.
Enam pemain berumur 18 tahun itu ialah dua pemain tengah, Aqil Faris Bin Shalahuddin dan Muhamad Asyraaf Bin Anwar Jafrizal, pemain pertahanan iaitu Muhammad Adib Bin Mohd Azwi dan Ahmad Fahrien Haiqal Bin Kamarulhisham serta penjaga gol iaitu Muhammad Afiq Hazim Bin Maz Izuan dan Syed Ali Uraidy Bin Syed Hussin. Mereka bakal beraksi bersama skuad Negeri Sembilan FC B-20 yang akan memulakan latihan pra-musim tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, menegaskan bahawa penyertaan enam graduan ini adalah sebahagian daripada perancangan kelab untuk membina asas pasukan yang lebih kukuh dan memberi peluang kepada pemain muda untuk berkembang.
“Mereka telah melalui program pembangunan di AMD dan kini tiba masanya untuk mereka menerapkan pengalaman serta ilmu yang diperoleh di peringkat yang lebih kompetitif. Selain graduan AMD, skuad yang akan menghadapi SUKMA 2026 ini juga akan disertai pemain NSFC B-18 dan B-20 sedia ada.”
Faliq juga menambah bahawa Negeri Sembilan FC komited dalam membina pemain yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga mampu menjadi tunjang pasukan dalam jangka masa panjang.
Dengan penambahan graduan AMD ini, Negeri Sembilan FC menunjukkan komitmen dalam pembangunan bakat muda serta persiapan jangka panjang untuk membentuk pasukan yang lebih kompetitif. Ia membuktikan usaha terhadap pembangunan bola sepak, bukan sahaja untuk prestasi jangka pendek tetapi juga dalam membina asas yang kukuh bagi masa depan kelab.