Seremban, 30 Ogos 2025 – Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan kehadiran pemain pertahanan skuad kebangsaan Mongolia kelahiran Denmark, Filip Chinzorig Andersen, dengan kontrak jangka panjang.
Berusia 22 tahun, Filip merupakan seorang pemain yang dikenali sebagai “ball-playing defender” dan dijangka menjadi aset penting buat skuad Jang dalam menghadapi cabaran musim ini. Kehadirannya diyakini mampu memperkukuhkan lagi barisan pertahanan pasukan serta memberikan kestabilan tambahan kepada corak permainan NSFC.
Filip pernah mewakili skuad kebangsaan Denmark di peringkat Bawah-16 dan Bawah-19, sebelum memilih untuk beraksi bersama skuad kebangsaan Mongolia di peringkat antarabangsa. Beliau telah membuat tujuh penampilan bersama skuad kebangsaan Mongolia. Pengalaman serta latar belakangnya di pentas bola sepak Eropah dijangka akan memberi nilai tambah kepada pasukan. Filip mencatatkan 14 penampilan bersama pasukan Loyola dalam saingan Liga Bolasepak Filipina pada musim lepas.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus, kemasukan Filip ke dalam pasukan adalah manifestasi polisi perpindahan NSFC.
“Beliau masih muda, dan akan memainkan peranan penting dalam skuad Jang pada masa akan datang. Kita ingin membina kelab secara jangka masa panjang, dan pemain seperti Filip adalah sebahagian daripada projek tersebut,” katanya.
Dengan kesungguhan serta kebolehan yang dimilikinya, Filip bakal menjadi sebahagian daripada barisan pemain yang akan menggerakkan falsafah kelab, “Demi Negeri!”.
Kehadiran Filip menandakan komitmen NSFC untuk terus memperkukuh pasukan dengan gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda. Langkah ini adalah sebahagian daripada visi jangka panjang kelab dalam membina skuad yang kompetitif.
Skuad Jang kini mengutip empat mata dalam tiga perlawanan Liga Super, dan ia menjadi asas penting untuk membina momentum lebih positif pada perlawanan seterusnya.
Prestasi ini menjadi titik mula untuk perjalanan musim yang panjang, di mana setiap perlawanan seterusnya akan menjadi peluang baharu buat skuad bimbingan Nidzam Jamil memperkukuh kedudukan dalam saingan liga.