Lebih Seratus Pelatih Jayakan Hari Bola Sepak Wanita Negeri Sembilan

Negeri Sembilan FC (NSFC) hari ini menganjurkan Hari Bola Sepak Wanita Negeri Sembilan yang diadakan di Stadium Mini Tampin. Program ini dibawakan khas oleh Tuah Hartamas Development Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) sempena National Training Week. Ini merupakan program pertama seumpamanya diadakan di Negeri Sembilan.

YTM KOL (K) Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin merangkap Presiden PBNS dan Pengerusi NSFC turut hadir menyaksikan program ini.

Hari Bola Sepak Wanita Negeri Sembilan ini telah dirasmikan YM Che Puan Isteri Anis Binti Sobari selaku Penasihat Bola Sepak Wanita Negeri Sembilan.

Ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan lebih 100 kanak-kanak dan remaja perempuan berumur 7 – 15 tahun. 40 orang peserta menyertai klinik bola sepak manakala seramai 60 orang peserta menyertai pertandingan yang diadakan dalam program ini. 4 pasukan remaja perempuan B-15 turut terlibat iaitu NS Soccer Academy, SMKTBB FC, NS Maan FC dan NS Fawn’ders. Angka ini menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap sukan bola sepak dalam kalangan kanak-kanak dan remaja perempuan di negeri ini.

Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja perempuan untuk menceburi sukan bola sepak dan memperkenalkan mereka kepada latihan asas serta teknik permainan. Ia juga bertujuan untuk memupuk semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan peserta. Menariknya, program ini dikendalikan oleh jurulatih yang terdiri dari bekas pemain wanita Negeri Sembilan FC.

Pengarah Tuah Hartamas Development Sdn Bhd, Encik Ahmad Faez Bin Abdul Razak menyatakan bahawa acara ini adalah sebahagian daripada inisiatif syarikat untuk menyokong pembangunan sukan bola sepak wanita di Malaysia.

“Kami percaya bahawa dengan memberi pendedahan awal dan sokongan kepada kanak-kanak dan remaja perempuan, kita dapat melahirkan lebih ramai pemain bola sepak wanita yang berkualiti di masa hadapan,” katanya.

Tuah Hartamas Development Sdn Bhd adalah sebuah syarikat pemaju hartanah, pengurusan hartanah dan pembinaan yang komited terhadap pembangunan masyarakat setempat melalui pelbagai inisiatif sosial dan sukan. Mereka juga merupakan penaja rasmi bagi NSFC.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara ini.

“Kerjasama bersama Tuah Hartamas Development Sdn Bhd untuk program ini adalah satu langkah positif ke arah memajukan sukan bola sepak wanita di negeri ini. Ia bukan sahaja memberi pengalaman baharu kepada kanak-kanak dan remaja perempuan dalam sukan bola sepak, malah ia juga membantu mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal.

“Kita merancang untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan dan menarik lebih ramai peserta pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Melalui penganjuran program seumpama ini, Negeri Sembilan FC dilihat komited untuk memajukan sukan bola sepak diperingkat akar umbi selain menyediakan platform untuk bakat muda berkembang dan mencapai potensi mereka. Pendedahan awal melalui program seperti ini wajar disokong agar Negeri Sembilan tidak ketandusan pemain wanita berbakat.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us