Kaharuddin Abdul Rahman: Penjaga Gol Legenda Negeri Sembilan

NSFCNews

Keputusan untuk bersara daripada dunia bola sepak adalah satu langkah besar bagi mana-mana pemain. Begitu juga buat penjaga gol, Kaharuddin Abdul Rahman yang kini bersara dari pentas professional sukan bola sepak. Beliau berkhidmat selama 15 tahun sebagai pemain bola sepak skuad Jang dan telah memberi sumbangan yang besar kepada pasukan Negeri Sembilan.

Kaharuddin, atau lebih dikenali dengan nama panggilan “Kahar”, telah mengecapi pelbagai kejayaan sepanjang kerjayanya bersama pasukan. Beliau telah memenangi 2 Piala Malaysia, 1 Piala FA, 1 Liga Premier dan 1 Piala Sumbangsih bersama Skuad Jang. Beliau memulakan langkah pertama dalam kerjayanya pada usia yang begitu muda. Perlawanan pertama beliau bersama pasukan senior ialah perlawanan Liga Super 2009 diantara Negeri Sembilan menentang UPB – MyTeam. Sejak itu, nama beliau sinonim dengan ketangkasan, ketabahan dan semangat juang sebagai seorang penjaga gol.

“Ini Kahar lah, den fighter”. Beliau sering menjadi penyelamat pasukan pada saat-saat genting. Keberanian dan kebijaksanaan beliau mengawal gawang menyebabkan dirinya menjadi antara pemain yang disayangi oleh Sekalian Yang Setia. Adat bermain bola sepak, Kahar juga tidak terlepas dari mengalami kecederaan. Namun, semangatnya tidak pernah luntur . Beliau sentiasa tekad dan bersemangat untuk bangkit dari kecederaan. Semangat dan kegigihan beliau seharusnya menjadi inspirasi kepada pemain muda yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak.

Menurut Kahar, memenangi piala bersama pasukan Negeri Sembilan adalah momen yang terbaik sepanjang kerjayanya. Anak jati Kuala Pilah ini juga merancang untuk menjadi Jurulatih Penjaga Gol, selepas bersara.

“Impian saya ingin menjadi Jurulatih Penjaga Gol bagi pasukan Negeri Sembilan suatu hari nanti. Saya telah memberi sumbangan sebagai pemain, tiba masanya saya mencurahkan kembali segala ilmu dan pengalaman yang saya miliki kepada generasi baharu bola sepak Negeri Sembilan. Doakan saya berjaya.

“Pesanan saya buat pemain muda, bermainlah dengan sepenuh hati. Tanamkan keikhlasan, kejujuran dan jagalah nama baik pasukan,” ujarnya lagi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus, Kahar merupakan antara pemain skuad Jang yang berjaya mendakap hampir semua piala yang dipertandingkan.

“Kekal setia bersama Negeri Sembilan selama 15 tahun adalah satu penghormatan.

“Hidup dan mati kerjaya bola sepak profesional beliau adalah bersama Negeri Sembilan. Terima kasih untuk 15 tahun yang gemilang.

“A proper club legend.” Selamat bersara, Kahar,” ujar Faliq.

Dengan persaraan beliau sebagai pemain bola sepak, kejayaan dan semangat beliau akan terus kekal dalam ingatan. Kahar bukan sahaja seorang pemain bola sepak yang cemerlang, tetapi juga boleh dijadikan contoh untuk membakar semangat dan menjadi inspirasi kepada semua.

Buat Kahar, selamat bersara. Semoga terus berjaya dalam apa jua bidang selepas ini. Terima kasih kerana mewarnai bola sepak Negeri Sembilan.