Kapten Gym Teruskan Kerjasama bersama NSFC

Kapten Gym, pusat gimnasium yang beroperasi di Wisma PBNS meneruskan kerjasama dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) musim ini sebagai Rakan Gimnasium Rasmi.

Menerusi kerjasama ini, para pemain akan menggunakan kemudahan dan peralatan gimnasium yang disediakan oleh Kapten Gym.

Kerjasama ini dijangka membawa pelbagai faedah kepada kedua-dua pihak. Ini merupakan langkah positif dalam memperkukuhkan industri sukan tempatan dan bola sepak di negeri ini.

Menurut Pengarah Kapten Gym, Zuerin Ibrahim, mereka amat berbesar hati untuk meneruskan kerjasama yang telah dimeterai sejak 2019, bermula dengan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).

“Alhamdulillah kita masih terlibat hingga kini bersama PBNS. Ini merupakan tahun pertama kita bekerjasama dengan NSFC.

“Saya amat berbesar hati kerana dapat memberi sumbangan kepada NSFC. Semoga tahun ini menjadi tahun yang baik untuk kita semua,” ujar beliau.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, kerjasama ini sedikit sebanyak membantu dalam meningkatkan prestasi pemain dalam saingan liga tempatan.

“Kerjasama ini memberi banyak manfaat kepada kedua-dua pihak. Selain memasarkan jenama Kapten Gym, ia membantu dalam memberi kemudahan latihan di pusat gimnasium mereka.

“Saya berharap kerjasama ini dapat memberi lebih manfaat kepada kedua-dua entiti untuk jangka masa yang lebih panjang,” katanya lagi.

Kapten Gym telah lama menyokong pembangunan bola sepak di Negeri Sembilan. Mereka bukan sekadar Rakan Gimnasium Rasmi, malah memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan prestasi pemain.

Kerjasama ini menandakan komitmen kedua-dua pihak dalam memajukan sukan bola sepak di Negeri Sembilan. Negeri Sembilan FC kini memiliki 4 pasukan yang bertanding di Liga Super, Piala MFL (B-23), Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-18).

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us