Kerjasama Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) dan Negeri Sembilan Football Club (NSFC): Langkah Terkini Dalam Membangunkan Bola Sepak Dan Bakat Tempatan Di Negeri Sembilan

NSFCNews

Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) dan Negeri Sembilan Football Club (NSFC) semalam telah memeterai satu perjanjian Memorandum Persefahaman (MOU) yang bertujuan untuk memajukan sukan bola sepak di Negeri Sembilan. Majlis menandatangani MOU ini berlangsung Allson Klana Resort, Seremban.

MOU ini adalah langkah penting dalam memperkuatkan kerjasama antara institusi pendidikan dan kelab sukan tempatan. KYNS, sebagai salah satu institusi pendidikan di Negeri Sembilan, telah menunjukkan komitmen yang cemerlang dalam pembangunan insan melalui pendidikan berkualiti. Dalam masa yang sama, ia bakal membantu NSFC, yang merupakan wakil utama dalam arena bola sepak negeri. Ini secara tidak langsung, membantu memberi nilai tambah dalam kerjaya pemain muda.

Dengan kerjasama ini, KYNS dan NSFC akan bekerjasama dalam pembangunan bakat tempatan, selain menyediakan program latihan dan pendidikan kepada pemain.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Bin Harun, buat pertama kalinya Negeri Sembilan Football Club (NSFC) membuat pemilihan pemain bawah 18 tahun dengan membentuk 2 pasukan bola sepak iaitu pasukan Negeri Sembilan Bawah 18 dan pasukan pelapis bawah 18 di bawah Kolej Yayasan Negeri Sembilan FC.

“Program ini merupakan inisiatif di bawah Pendidikan TVET Sukan Madani Negeri Sembilan dalam sukan Bola Sepak.

“Penglibatan KYNS dalam menyediakan
program latihan yang berkualiti dan berimpak tinggi adalah selari dengan misi dan visi kerajaan pada hari ini.

“Menjadi harapan saya agar memorandum yang dimeterai memberikan nafas segar kepada kerjasama antara KYNS dan NSFC.” ujar beliau dalam satu kenyataan.

MOU ini menunjukkan komitmen KYNS dan NSFC dalam memajukan sukan bola sepak di Negeri Sembilan. Langkah ini tidak hanya akan memberi impak positif kepada perkembangan atlet-atlet tempatan, tetapi juga kepada pembangunan sosial, ekonomi, dan budaya di Negeri Sembilan secara keseluruhannya.