Kuching City FC Jadi Ujian Seterusnya Buat Negeri Sembilan FC

Negeri Sembilan FC (NSFC) kembali beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat ini apabila menerima kunjungan Kuching City FC dalam aksi ketiga mereka dalam saingan Liga Super musim ini.

Selepas dua perlawanan, NSFC kini mengutip tiga mata hasil kemenangan menentang Selangor FC minggu lalu. Rentak itu mahu diteruskan, lebih-lebih lagi dengan sokongan padu penyokong di halaman sendiri.

Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil, menyatakan bahawa pasukannya kini bebas dari sebarang kecederaan.

“Satu perkara yang kita gembira ialah kita bebas kecederaan. Pemain yang tidak dapat bermain dalam perlawanan sebelum ini mungkin akan diturunkan. Persiapan kita sama seperti pasukan lain, fokus pada pasukan sendiri dan kita bersedia untuk perlawanan malam esok,” jelas beliau.

Nidzam turut memuji keberkesanan kerja rakan sejawatnya dari Kuching City FC, Aidil Shahrin, yang berjaya memberi dimensi baharu kepada pasukan mereka.

“Pujian untuk Aidil Shahrin yang telah membawa Kuching City FC ke tahap lebih baik. Kehadirannya membawa banyak perubahan pada corak dan dimensi permainan mereka. Kita perlu berhati-hati dengan beberapa pemain seperti Ronald Ngah Wanja dan Petrus Shitembi. Mereka mungkin kehilangan seorang dua pemain kerana penggantungan, tetapi itu bukanlah tanda mereka pasukan yang lemah,” ujarnya.

Berita positif buat skuad Jang ialah kembalinya pemain tengah, Alex Agyarkwa, yang dianggap mampu memberi nilai tambah dalam corak permainan.

“Saya gembira dengan kembalinya Alex Agyarkwa . Tanpa beliau, kita berjaya melalui satu perlawanan yang getir dan itu menunjukkan kebergantungan pasukan ini bukanlah kepada individu, tetapi kepada kerjasama dalam pasukan. Kehadiran Alex memberi kelainan dalam dimensi permainan,” ujar Nidzam lagi.

Nidzam turut menyentuh mengenai status dua pemain, Khuzaimi Piee dan Luqman Hakim, yang masih belum diturunkan.

“Status Khuzaimi dan Luqman masih 50-50. Saya perlu rujuk kepada pasukan perubatan. Saya tidak mahu ambil risiko dan saya percaya pemain yang seratus peratus cergas wajar diberikan peluang.”

Jurulatih berpengalaman ini turut menekankan bahawa NSFC masih dalam fasa pembinaan dan perlu terus bekerja keras untuk melonjak lebih jauh.

“Kami pasukan yang masih lagi dalam pembinaan. Kami bukan dalam balang nombor satu liga, mahupun nombor dua. Kami masih dalam balang tiga atau empat. Kita harus kekal rendah diri, kekal bekerja keras supaya kita boleh melompat dari satu balang ke balang lain.”

Akhir sekali, beliau menyeru para penyokong untuk turun ke stadium kerana sokongan mereka mampu menjadi pembakar semangat pasukan.

“Untuk penyokong NSFC, jemput hadir ke perlawanan ini. Kehadiran anda memberi impak yang besar kerana anda adalah sebahagian daripada keluarga NSFC,” ujar Nidzam mengakhiri sesi temubual.

Sorakan 25,500 penyokong ketika menentang Selangor FC telah menghidupkan kembali suasana bola sepak di Paroi. Suasana itu mungkin akan kembali lagi Jumaat ini dengan lebih lantang, lebih bersemangat dan lebih membara.

Inilah masanya untuk penyokong Negeri Sembilan FC terus berdiri bersama pasukan, menjadikan Stadium Tuanku Abdul Rahman sebuah benteng yang sukar digugat oleh mana-mana lawan. Perlawanan menentang Kuching City FC ini bakal menjadi satu lagi malam yang penuh emosi di Paroi.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us