Kejohanan Liga Elit KELME B-17: PLD Seremban 1 Juara Edisi Sulung

Kejohanan Liga Elit KELME B-17 yang dianjurkan oleh Negeri Sembilan FC dan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP NS) dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) telah berakhir petang tadi. Liga ini berlangsung dari 21 Mei hingga 18 Julai 2024 dan melibatkan penyertaan pasukan-pasukan muda berbakat dari seluruh Negeri Sembilan.

Pasukan PLD Seremban 1 yang diwakili oleh SMK Tunku Ampuan Durah telah dinobatkan sebagai juara bagi edisi sulung kejohanan ini dengan mengutip sebanyak 19 mata manakala PLD Kuala Pilah pula mendapat tempat kedua dengan kutipan mata yang sama, namun dipisahkan dengan jumlah jaringan. Pasukan PLD Seremban 2 pula menduduki tempat ketiga dengan mengutip 13 mata.

Pasukan lain yang terlibat dalam kejohanan ini termasuk NS Soccer Academy, PLD Rembau, SSN N.Sembilan, PLD Port Dickson dan CCNS.

Perlawanan petang semalam turut diserikan dengan kehadiran wakil dari KELME dan Negeri Roadstone Sdn Bhd. KELME telah diwakili oleh Encik Yong Kok Wai, Pengurus Pemasaran manakala Negeri Roadstone Sdn Bhd diwakili oleh Encik Mohd Khairul Anuar Bin Shahrom, Ketua Unit Jualan, Pemasaran & Pembangunan Perniagaan.

Menurut Yong Kok Wai, beliau bangga melihat semangat pemain yang ditunjukkan dalam kejohanan ini.

“Saya lihat pemain bersemangat dalam setiap perlawanan dan berharap kejohanan ini diteruskan pada tahun hadapan. Ini sekaligus membantu Negeri Sembilan mencari pelapis untuk masa hadapan. Pihak KELME akan sentiasa menyokong segala usaha untuk meningkatkan lagi kualiti bola sepak,” ujarnya lagi.

Bagi Mohd Khairul Anuar Bin Shahrom pula, Negeri Roadstone Sdn Bhd gembira untuk bersama Negeri Sembilan FC dalam mengembangkan lagi bakat muda di Negeri Sembilan.

“Pertandingan seperti ini dapat mencungkil bakat muda untuk diketengahkan. InsyaAllah, dengan kerjasama dari semua pihak kita boleh majukan lagi sukan bola sepak di Negeri Sembilan,” katanya.

KELME dan Negeri Roadstone Sdn Bhd merupakan penaja rasmi bagì skuad bola sepak Negeri Sembilan FC.

Kejohanan ini menyaksikan Sulman Alfarisi Bin Nor dari pasukan PLD Seremban 1 dinobatkan sebagai Pemain Terbaik, manakala Muhammad Danish Khalishah Bin Mohd Hisham juga dari PLD Seremban 1 merangkul gelaran Penjaring Terbanyak. Penjaga Gol Terbaik pula jatuh kepada Muhammad Aizi Uzair Bin Khalid dari PLD Kuala Pilah.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us