Skuad Negeri Sembilan FC B-12 menutup tirai 2024 dengan menyertai Milo Challenger Cup 2024 Under 13 yang berlangsung di JSA Arena, Setia Alam. Ia merupakan salah satu kejohanan utama akar umbi di Malaysia dan dijalankan secara karnival selama dua hari, iaitu pada 7 dan 8 Disember 2024.
Kejohanan ini juga merupakan aksi terakhir buat pasukan yang dibimbing oleh Fairuredza Kassim, Anuar Sukiman dan Kaharuddin Abdul Rahman sebelum pemain melangkah ke peringkat umur seterusnya.
Penyertaan dalam kejohanan ini merupakan sebahagian daripada strategi pembangunan pemain muda, khususnya dalam memberi pendedahan awal kepada pemain-pemain beraksi bersama pasukan Bawah-13 Tahun. Ini penting untuk perkembangan teknikal dan mental pemain. Ia juga membuktikan komitmen Negeri Sembilan FC terhadap pembangunan akar umbi, selain membantu membentuk pelapis bagi pasukan Negeri Sembilan FC.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus, beliau gembira dengan perkembangan pemain muda ini.
“Mereka telah menyertai beberapa siri kejohanan sepanjang tahun ini, dalam usaha membantu pemain membiasakan diri beraksi dalam perlawanan yang kompetitif. Ia adalah asas penting dalam membantu perjalanan mereka untuk melangkah jauh dalam bola sepak.
“Negeri Sembilan FC serius dalam memperkasakan pembangunan akar umbi bola sepak. Kelab percaya bakat-bakat muda ini akan terus berkembang dan menyumbang kepada masa depan bola sepak Negeri Sembilan. Kita mahu melahirkan pemain yang mampu mengharumkan nama kelab, negeri dan negara,” katanya lagi.
Negeri Sembilan FC B-12 tewas kepada Sekolah Sukan Bukit Jalil B-13 dalam saingan separuh akhir dan menduduki tempat ketiga kejohanan ini.