Misi Sahkan Tiket Suku Akhir di Selayang!

Seremban, 11 September 2025 – Negeri Sembilan FC (NSFC) akan turun ke Stadium Selayang malam esok untuk berdepan PDRM FC dalam aksi kedua pusingan 16 Piala FA. Skuad Hobin Jang Hobin membawa bekalan selesa hasil kemenangan 5-0 pada perlawanan pertama di Paroi pada 18 Ogos lalu.

Kelebihan besar itu tidak membuatkan NSFC leka, sebaliknya mereka bertekad mengekalkan disiplin dan konsentrasi demi mengesahkan tiket ke suku akhir. Ketua jurulatih, Nidzam Jamil, mengingatkan bahawa saingan Piala FA bukanlah satu pertandingan yang mudah untuk dijangka, kerana ia sentiasa penuh dengan kemungkinan dan kejutan. Menurutnya, setiap pasukan memiliki peluang masing-masing, dan kelebihan pada perlawanan pertama tidak boleh dijadikan alasan untuk mengambil mudah cabaran lawan dalam aksi timbal balik.

“Ini ialah perlawanan Piala FA. Macam-macam situasi boleh berlaku. Kita akan bermain seperti yang kami tawarkan selalu. Saya harap sikap, identiti dan konsentrasi kita kekal dalam perlawanan malam esok. Walaupun kita memiliki kelebihan gol, itu tidak bermaksud kita akan datang separuh hati ke Selayang.

“Kita kehilangan enam pemain kerana tugasan antarabangsa baru-baru ini. Persiapan pasukan bersama pemain-pemain yang jarang bermain sebelum ini sangat baik. Kita ada beberapa perlawanan persahabatan dan saya gembira dengan komitmen semua pemain. Saya harap tiada kecederaan besar daripada pemain yang beraksi dalam tugasan antarabangsa.

“Khuzaimi Piee dan Luqman Hakim juga beransur pulih dan kami memantau rapi perkembangan mereka,” jelasnya.

Sementara itu, pemain bek kanan Negeri Sembilan FC, Ariff Ar-Rasyid, menyatakan semangat pasukan kini berada pada tahap terbaik menjelang perlawanan ini.

“Moral dan motivasi pasukan berada dalam keadaan yang sangat baik. Kita memiliki kelebihan lima gol, tetapi perlawanan malam esok bukanlah satu perlawanan yang mudah. Dalam bola sepak, macam-macam perkara boleh terjadi.

“PDRM FC memiliki ramai pemain yang berkebolehan tinggi, terutama pada bahagian tengah dan serangan mereka. Kekuatan NSFC terletak pada kerjasama dan persefahaman yang baik. Setiap perlawanan yang kami harungi, kami akan cuba habiskan dengan keputusan yang baik,” katanya.

Dengan momentum positif selepas kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC dan seri 2-2 menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super sebelum ini, skuad Jang kini bertekad membawa pulang keputusan positif dari Selayang untuk menempah slot ke suku akhir Piala FA musim ini. Perlawanan ini bukan sahaja peluang untuk mengesahkan kemaraan, tetapi juga medan untuk memperkukuhkan keyakinan pasukan dalam menghadapi cabaran musim ini.

Semangat penyokong yang sentiasa berdiri di belakang pasukan akan menjadi dorongan tambahan, dan seluruh pasukan yakin bahawa perjalanan Piala FA kali ini mampu diteruskan dengan penuh bergaya. Kali terakhir skuad Jang memenangi Piala FA ialah pada tahun 2010, yang dibimbing oleh Wan Jamak Wan Hassan ketika itu.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us