Skuad Negeri Sembilan FC Bawah 12 kini berada di Singapura bagi menyertai kejohanan antarabangsa SingaCup 2025. Kejohanan berprestij ini menghimpunkan pasukan muda dari pelbagai negara dan menjadi platform penting dalam pembangunan bola sepak akar umbi rantau ini.
Pasukan ini dibimbing oleh barisan kejurulatihan berpengalaman yang terdiri daripada Ketua Unit Pembangunan Akar Umbi Negeri Sembilan FC, Zahiruddin Amirudin, Ketua Jurulatih Fairuredza Kassim dan Penolong Jurulatih, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.
Seramai 16 pemain muda telah dipilih untuk mewakili Negeri Sembilan FC Bawah 12, yang diletakkan dalam Kumpulan C bersama tiga kelab dari Singapura iaitu LCS Academy A, Dededo Soccer Club, JNDC Red, serta Conscient Sports Delhi dari India.
Menurut Pengarah Teknikal Negeri Sembilan FC, Efendi Abd Malek, penyertaan pasukan ini bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan, tetapi lebih kepada memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain muda agar mereka dapat merasai suasana pertandingan luar negara, memahami tahap kompetitif rakan sebaya dari negara lain, serta mengasah keyakinan dan kematangan dalam permainan.
“Pengalaman menyertai kejohanan besar seperti SingaCup 2025 adalah sebahagian daripada pelan pembangunan jangka panjang akar umbi kelab dalam memastikan bakat muda mendapat peluang untuk berkembang dalam persekitaran yang mencabar dan profesional.
“Kami mahu pemain-pemain muda ini belajar, berani dan menikmati pengalaman di pentas antarabangsa. SingaCup 2025 memberi peluang yang besar kepada mereka untuk melihat di mana tahap mereka berbanding rakan sebaya dari negara lain. Ini adalah sebahagian daripada perjalanan dalammembina pemain masa depan untuk Negeri Sembilan FC,”tambahnya lagi.
SingaCup 2025 berlangsung dari 1 hingga 8 November 2025 dan ini merupakan edisi ke-15 penganjurannya sejak penganjuran pertama pada tahun 2011. Kejohanan inimenampilkan lebih 160 pasukan dari 13 negara merentasi 7 kategori umur, sebagai sambutan terhadap semangat bola sepak belia, perpaduan dan persahabatan global. Ia turut diiktiraf sebagai salah satu kejohanan bola sepak belia terkemuka di Asia Tenggara dan untuk kategori bawah 12 tahun, ia dijalankan dalam format 9 sebelah.

