Negeri Sembilan FC Kekalkan Rekod Tanpa Kalah

NSFCNews Leave a Comment

Negeri Sembilan FC meneruskan rentak kemenangan mereka di pentas Liga Super apabila menewaskan Sarawak United FC dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Kuching malam tadi.

Sarawak United FC bermula dengan garang. Seawal minit pertama, mereka telah mula mengasak menerusi sepakan percuma Lee Changhoon, namun penjaga gol Negeri Sembilan FC, Syihan bertindak cemerlang dengan menepis bola.

Negeri Sembilan FC memperoleh peluang untuk mendahului permainan pada minit ke-21 menerusi Kossi Adetu, namun rembatan beliau meliar melepasi palang gol.

Pada minit ke-30 permainan, Sarawak United FC hampir menjaringkan gol menerusi Gonzalo Manuel Soto, namun pertahanan Negeri Sembilan FC, Mark Goulon berjaya memintas Gonzalo dari melakukan percubaan.

Pada minit ke-51 perlawanan, Sarawak United FC memecah kebuntuan menerusi Boris Kok yang menerima hantaran sepakan percuma daripada Lee Chang Hoon.

Tidak menunggu lama, Negeri Sembilan FC menyamakan kedudukan pada minit ke-64 menerusi penalti dari Mark Goulon.

Negeri Sembilan FC terus menggandakan asakan. Hasilnya, Matheus Alves menambah jaringan buat skuad Jang pada minit ke-69 melalui rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Kedudukan itu kekal hingga ke wisel penamat. Menerusi kemenangan ini, skuad Jang berjaya menduduki tangga teratas liga dan mengekalkan rekod tanpa kalah di Liga Super.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *