Negeri Sembilan FC Sedia Hadapi Aksi Persahabatan Antarabangsa Menentang Timor Leste

SEREMBAN, 6 November 2025 — Negeri Sembilan FC bakal berdepan pasukan kebangsaan Timor Leste dalam aksi Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 2 yang akan berlangsung pada 9 November di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sempena jendela rehat FIFA kali ini.

Perlawanan ini menjadi peluang terbaik buat skuad Jang untuk mengekalkan momentum serta tahap kecergasan pasukan ketika saingan Liga Super berehat seketika.

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil, menegaskan bahawa fokus utama pasukan bukanlah kepada keputusan perlawanan, sebaliknya kepada objektif jangka panjang dalam persediaan menghadapi baki saingan musim ini.

““Ini adalah perlawanan persahabatan antarabangsa, kita cuba kekal dengan keinginan bermain baik serta mendapat keputusan positif. Apa yang penting ialah memastikan pemain kekal sikap kompetitif, mengekalkan ‘match fitness’, dan memberi peluang kepada beberapa pemain yang jarang beraksi untuk mendapatkan minit permainan serta pengalaman tempo perlawanan antarabangsa,” jelas Nidzam.

Beliau turut menambah bahawa perlawanan ini akan menjadi medan untuk menilai tahap taktikal dan kefahaman pemain terhadap corak permainan yang diterapkan sepanjang musim.

“Kami mahu pastikan semua pemain kekal bersedia, terutama apabila liga bersambung nanti. Dalam masa sama, kami akan lihat beberapa kombinasi baharu , dan cuba untuk menajamkan cara kami bermain ketika fasa menyerang dan bertahan,semua pemain berpeluang menimba pengalaman ini” tambahnya.

Dengan aksi ini, penyokong diharap dapat memberikan sokongan padu seperti biasa dan memahami bahawa fokus utama pasukan adalah pembangunan berterusan dan persiapan untuk saingan kompetitif akan datang.

 

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us