Seremban, 23 April 2025 – Bekas pemain pertahanan kebangsaan dan ketua pasukan Negeri Sembilan FC, Norhafiz Zamani Misbah, telah diumumkan sebagai Ketua Jurulatih pasukan Bawah-20 (B-20) Negeri Sembilan FC.
Pelantikan ini menyaksikan beliau diberikan tanggungjawab untuk membimbing pasukan muda itu menghadapi Piala Presiden 2025 dan juga sebagai persiapan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, dalam satu kenyataan rasmi, menyatakan keyakinan terhadap Norhafiz yang dianggap memiliki pengalaman luas dalam bola sepak tempatan serta keupayaan untuk membentuk bakat-bakat muda menjadi pemain berkualiti.
“Kami percaya dengan pengalaman dan kepimpinan beliau, skuad B-20 Negeri Sembilan akan lebih bersedia untuk bersaing di Piala Presiden 2025 dan juga sebagai teras utama pasukan SUKMA Negeri Sembilan bagi edisi 2026. Ini adalah langkah strategik dalam pembangunan bola sepak negeri,” katanya.
Norhafiz, yang sebelum ini merupakan ketua pasukan Negeri Sembilan, serta memiliki 84 penampilan bersama skuad kebangsaan, turut meluahkan rasa teruja dengan peranan baharunya ini. Beliau juga merupakan bekas penolong ketua jurulatih bawah 16 tahun di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).
“Saya amat bersyukur dan berbesar hati kerana diberikan peluang ini. Ini bukan sekadar membentuk pasukan untuk pertandingan, tetapi juga membangunkan pemain-pemain muda agar bersedia melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam bola sepak profesional,” ujar Norhafiz.
Beliau juga menegaskan bahawa tumpuannya bukan hanya kepada prestasi jangka pendek tetapi juga dalam membina sistem pembangunan pemain yang kukuh, memastikan kesinambungan bakat di Negeri Sembilan FC dan juga skuad negeri bagi kejohanan akan datang.
Dengan pelantikan ini, penyokong Negeri Sembilan FC meletakkan harapan tinggi agar Norhafiz mampu membawa perubahan positif dan mencipta kejayaan buat pasukan muda negeri itu.