NSFC Anjur Liga Suparimau di Negeri Sembilan

NSFCNews

Negeri Sembilan Football Club (NSFC) hari ini mengumumkan akan bekerjasama dengan pihak Maxim Events bagi menganjurkan kejohanan bola sepak akar umbi, Liga Suparimau peringkat umur bawah 8, 10, 12, 14 dan 16 tahun.

Liga Suparimau pernah dianjurkan di Negeri Sembilan sebelum ini, namun penganjuran kali ini sedikit berbeza kerana ia melalui kerjasama dengan NSFC. Kerjasama ini turut disokong oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) dan ia bakal mewujudkan satu platform yang sesuai untuk pemain di peringkat akar umbi agar terus berkembang.

Menurut Exco Pembangunan Belia & Sukan Negeri Sembilan merangkap Naib Presiden PBNS, YB Tuan Hj Mustapha Nagoor ia juga merupakan satu usaha PBNS untuk menyokong inisiatif dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Umum sedia maklum Liga Suparimau merupakan inisiatif dari FAM untuk merancakkan pembangunan akar umbi bola sepak tempatan.

“Kita akan teruskan penganjuran Liga Suparimau selepas ini malah akan diperhebatkan lagi dengan penglibatan NSFC sebagai penggerak utama. Pihak PBNS pula akan membantu dari segi penyediaan fasiliti, keperluan kepengadilan dan tenaga kerja. PBNS komited untuk menyokong inisiatif FAM, terutamanya di peringkat akar umbi.

“Kita ingin meningkatkan lagi mutu bola sepak di Malaysia, khususnya di Negeri Sembilan. Kita juga inginkan pemain di peringkat akar umbi merasai suasana pertandingan yang konpetitif. Ini penting untuk mengukuhkan asas bola sepak anak-anak ini.

“Dengan suasana bola sepak hari ini yang semakin sengit, pembangunan bakat yang berterusan perlu dilakukan. Inisiatif yang dijalankan oleh PBNS dan NSFC dalam menggunakan segala peluang yang telah disediakan oleh FAM bakal memperkukuhkan industri bola sepak di negeri ini.” katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia PBNS.

Liga Suparimau dijadualkan akan berlangsung bermula Mei ini dan melibatkan penyertaan pasukan dari sekitar Negeri Sembilan. Ia dikendalikan oleh Maxim Events, yang diberi pengiktirafan oleh FAM sebagai liga pembangunan akar umbi rasmi.