“WARRIX CONCEPT STORE” RAHANG DIBUKA UNTUK UMUM, KAD KEAHLIAN “HOBIN” NSFC DILANCARKAN

SEREMBAN, 5 Julai 2025 – Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) hari ini telah merasmikan pembukaan rasmi Warrix Concept Store Rahang, kedai konsep pertama seumpamanya di Negeri Sembilan yang menampilkan koleksi barangan rasmi Warrix, penaja kelengkapan pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC).

Dalam majlis yang sama, Kad Keahlian Rasmi “Hobin” NSFC turut dilancarkan secara rasmi – sebuah inisiatif yang bertujuan memperkukuh hubungan antara kelab dan penyokong melalui keistimewaan eksklusif, diskaun rakan niaga, dan akses ke acara khas kelab sepanjang musim.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Jurulatih NSFC, Nidzam Jamil, serta barisan pemain baharu musim 2025/2026 iaitu Luqman Hakim Shamsudin, Azri Ghani, dan Ahmad Khuzaimi Piee, yang disambut hangat oleh para penyokong yang hadir seawal pagi.

YTM Tunku Syed Razman dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa pelancaran kedai konsep ini beserta Kad Keahlian “Hobin” NSFC merupakan satu titik tolak penting dalam memperkukuh ekosistem bola sepak profesional di Negeri Sembilan.

“Kehadiran “Warrix Concept Store” dan pelancaran Kad Keahlian “Hobin” NSFC mencerminkan satu langkah progresif dalam usaha menjadikan bola sepak sebagai pemangkin pembangunan ekonomi, sosial dan semangat kebersamaan dalam kalangan penyokong,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Universal Sports Sdn Bhd, Tan Peng Koon, selaku pengedar rasmi Warrix di Malaysia, turut menyatakan keyakinan terhadap kerjasama jangka panjang bersama NSFC.

“Kami di Universal Sports amat berbangga dapat bekerjasama dengan Negeri Sembilan FC, sebuah kelab yang mempunyai sejarah dan penyokong yang bersemangat tinggi. Pembukaan Warrix Concept Store Rahang ini membuktikan komitmen kami untuk berada lebih dekat dengan komuniti tempatan dan menyokong pertumbuhan bola sepak Negeri Sembilan secara keseluruhan,” ujar beliau.

Warrix Concept Store Rahang akan menjadi pusat sehenti bagi mendapatkan jersi rasmi, kelengkapan sukan dan produk gaya hidup NSFC, sementara kad keahlian memberi manfaat seperti diskaun eksklusif di kedai terpilih, pra-jualan tiket, dan aktiviti bersama pemain.

Majlis turut dimeriahkan dengan sesi bertemu peminat serta cabutan bertuah dengan hadiah menarik tajaan rakan niaga NSFC. PBNS telah melakukan rombakan baru-baru ini pada kepengerusian NSFC, dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Aminuddin bin Harun telah dilantik sebagai Pengerusi NSFC, bertujuan untuk membawa kelab ke tahap yang lebih tinggi.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us