NSFC, KELME Umum Kerjasama Rasmi Bagi Tempoh Dua Tahun

NSFCNews

SEREMBAN: Negeri Sembilan Football Club dan pengeluar pakaian sukan antarabangsa, KELME hari ini mengumumkan kerjasama rasmi bagi tempoh dua tahun yang melibatkan penajaan kit rasmi pasukan bernilai RM1.7 juta.

Menurut satu kenyataan, KELME yang berpangkalan di Sepanyol akan muncul sebagai Rakan Teknikal Rasmi NSFC bagi skuad Liga Super Malaysia, Liga Bawah-23, Piala Presiden dan Piala Belia bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Satwant Singh berkata, pemilihan KELME sebagai penaja kit baharu merupakan manifestasi hasrat NSFC yang ingin berkembang sebagai sebuah kelab bola sepak yang berdaya saing.

“Usahasama dengan KELME selama dua tahun ini bukan sahaja melibatkan penajaan kit pasukan, malah akan turut memberikan manfaat pemasaran dan komersil yang sangat diperlukan ketika kita sedang bersaing di dalam era penswastaan pasukan.”

Beliau turut menambah:

“Dari segi rekaan kit pasukan menjelang musim baharu, skuad Hobin Jang Hobin akan mengekalkan elemen warna-warna kebanggaan Negeri Sembilan iaitu kuning, merah dan hitam.

Sementara itu, pengarah KELME Malaysia, Louis Fun Chen Wai menyifatkan kerjasama yang termeterai akan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.

“NSFC akan menjadi satu-satunya pasukan di Liga Super Malaysia yang akan ditaja KELME bermula musim akan datang. Lebih manis, NSFC akan menyambut ulangtahun bola sepak Negeri Sembilan yang ke-100 pada tahun ini. Justeru itu, kami berbesar hati untuk bersama-sama meraikannya melalui rekaan dan inovasi yang lebih dekat dengan peminat,” ujarnya.

Selain NSFC, KELME juga merupakan penaja rasmi bagi pasukan-pasukan antarabangsa seperti pasukan bola sepak kebangsaan Filipina, pasukan La Liga, RCD Espanyol, dan pasukan Liga Bola Sepak Inggeris, Watford FC.