Nilai, 2 Ogos 2025 – Negeri Sembilan FC (NSFC) hari ini melancarkan jersi baharu bagi musim 2025/2026 serta memperkenalkan barisan pemain utama pasukan dalam satu majlis yang berlangsung meriah di AEON Mall Nilai, disaksikan oleh para penyokong, peminat setia dan rakan penaja.
Majlis ini dihadiri oleh Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan, YTM KOL (K) Tunku Syed Razman Bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri, serta Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Negeri Sembilan FC, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin Bin Harun.
Dalam ucapannya, YTM Tunku Syed Razman menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan baharu NSFC dan menyeru semua pihak bersatu demi kebangkitan bola sepak Negeri Sembilan.
“Sebagai Presiden PBNS, saya ingin menzahirkan sokongan penuh kepada kepimpinan Pengerusi Negeri Sembilan FC yang baharu, iaitu YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin bin Harun, dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak Negeri Sembilan. Saya yakin, dengan perancangan strategik dan semangat kerja berpasukan, NSFC mampu melakar kejayaan yang lebih gemilang pada musim 2025/2026.
“Bola sepak Negeri Sembilan mempunyai sejarah kegemilangan yang panjang dan membanggakan. Negeri Sembilan juga bukan nama baharu dalam dunia bola sepak. Kita pernah menjulang trofi, menawan stadium lawan, dan menjadi pasukan digeruni. Tetapi masa telah berubah dan dalam perubahan itu, saya percaya sudah tiba masanya untuk kita bangkit semula,” ujarnya lagi.
Sementara itu, dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Utama Aminuddin menzahirkan rasa bangga terhadap identiti yang dibawa oleh rekaan jersi musim ini.
“Jersi yang akan kita lancarkan hari ini bukan hanya rekaan atau warna. Ia adalah manifestasi identiti dan semangat Negeri Sembilan. Rekaan ini menggabungkan unsur warisan, keberanian dan harapan baharu.
Ia direka bukan sekadar untuk dipakai, tetapi untuk dihayati. Saya berharap jersi ini akan menjadi simbol kebanggaan, bukan sahaja kepada pemain, tetapi juga kepada rakyat Negeri Sembilan di mana jua mereka berada,” tambahnya lagi.
Kit “Home” musim ini kekal dengan kombinasi warna tradisi Negeri Sembilan iaitu merah, kuning dan hitam. Rekaan ini dihiasi dengan tipografi ikonik “Ini Paroi Jangan Main” pada bahagian dalam kolar, merujuk kepada Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, gelanggang keramat skuad Jang. Turut ditampilkan tenunan corak bunga lada, bunga rasmi Negeri Sembilan sebagai elemen budaya yang memperkukuh identiti pasukan.
Sementara itu, kit “Away” membawa mesej penghargaan kepada penyokong setia dengan tipografi “Sekalian Yang Setia”. Ia tertera kemas sebagai simbol ikatan emosi antara pasukan dan peminat. Kit ini dilengkapkan dengan perincian warna kuning, hitam dan merah pada label belakang jersi, serta mengekalkan tenunan corak bunga lada sebagai elemen penyatu dengan jersi Home.
Jersi baharu ini bukan sahaja menampilkan keunikan rekaan, malah menyampaikan naratif yang kuat tentang jati diri Negeri Sembilan, semangat perjuangan, serta kebanggaan terhadap warisan negeri.
Negeri Sembilan FC bukan sahaja memperkenalkan wajah baharu pasukan, tetapi juga meniup semangat baharu dalam kalangan pemain dan penyokong menjelang musim 2025/2026.
Skuad Jang yang kini dipimpin oleh Nidzam Jamil telah menandatangani beberapa pemain baharu seperti Luqman Hakim, Azri Ghani dan Ariff Ar-Rasyid selain mengekalkan Takumi Sasaki, Harith Samsuri dan A.Selvan.