NSFC LANCAR PAS BERMUSIM 2024, TAWAR PENJIMATAN SEHINGGA 30%

Negeri Sembilan Football Club (NSFC) hari ini mengumumkan pelancaran pas bermusim menerusi semua akaun media sosial rasmi kelab sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia 2024 yang akan bermula tidak lama lagi.

NSFC bakal beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan jumlah perlawanan minimum 12 kali bagi saingan Liga Super Malaysia.

Harga tiket bagi setiap perlawanan musim ini telah ditetapkan pada kadar RM35 (dewasa, astaka) dan RM15 (kanak-kanak, astaka), manakala bagi teres terbuka pula ditetapkan pada kadar RM20 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak).

Ia melibatkan kenaikan RM5 bagi dewasa astaka dan teres terbuka, serta kenaikan RM1 untuk kanak-kanak teres terbuka. Harga tiket untuk kanak-kanak astaka kekal pada harga RM15.

Harga tiket kanak-kanak juga dipanjangkan kepada pelajar sekolah (7 hingga 17 tahun), berbanding sebelum ini tiket kanak-kanak dijual kepada mereka yang berumur 7 hingga 12 tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, penakrifan semula tahap umur itu dilakukan sebagai menyahut saranan Pengerusi NSFC, YTM Tunku Syed Razman Bin Tunku Syed Idrus untuk menawarkan harga mampu milik kepada penyokong skuad Jang.

“Pas bermusim ini adalah satu inisiatif yang dirancang khas bagi para penyokong setia kami yang ingin menyokong pasukan sepanjang musim dengan cara yang lebih berkesan dan mudah.

“Ia bukan sahaja menawarkan penjimatan 30% dari harga tiket terkini, tetapi ia menawarkan suasana baharu di Paroi memandangkan kerajaan negeri telah menaiktaraf Stadium Tuanku Abdul Rahman ini.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Bin Harun yang memainkan peranan penting dalam pembangunan pasukan dan juga fasiliti sukan untuk kegunaan pasukan,” katanya lagi.

Melalui Pas bermusim NSFC 2024, para penyokong bakal menikmati diskaun hebat sehingga 30% beserta manfaat tambahan seperti diskaun pembelian di PBNS Concept Store dan NSFC Physio Centre. Menariknya, pembeli juga akan menikmati perlindungan insurans sehingga RM20,000, selain mendapat simkad percuma dari ONEXOX.

Pas Bermusim NSFC 2024 menawarkan pakej “Black (Teens & Kids)” pada harga RM85 dan “Red (Teens & Kids)” pada harga RM144. Kedua-dua pakej ini merupakan pakej untuk kanak-kanak dan remaja yang berumur 7 hingga 17 tahun.

Dan untuk mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas, terdapat 2 pakej yang ditawarkan iaitu pakej “Black (Adult)” pada harga RM165 dan pakej “Red (Adult)” pada harga RM335.

Tempahan Pas Bermusim NSFC 2024 boleh dibuat melalui store.nsfc1923.com bermula hari ini sehingga 31 Mei 2024.

Negeri Sembilan FC yang kini dibimbing oleh Azzmi Ab Aziz dijadualkan bertemu penyandang juara, Johor Darul Ta’zim FC dalam aksi pertama mereka di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 18 Mei 2024.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us