NSFC Lancar Pas Bermusim, Umum Harga Tiket Perlawanan Dan Kit Musim 2023

NSFCNews

Seremban: Negeri Sembilan Football Club (NSFC) hari ini mengumumkan pelancaran pas bermusim secara dalam talian menerusi semua akaun media sosial rasmi kelab sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia 2023 yang akan bermula hujung bulan ini.

NSFC dijangkakan akan berentap di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dengan jumlah perlawanan minimum 15 kali bagi saingan Liga Super Malaysia, Piala FA, dan Piala Malaysia.

Harga tiket bagi setiap perlawanan musim ini telah ditetapkan pada kadar RM30 (dewasa, astaka) dan RM15 (kanak-kanak), manakala bagi tempat duduk terbuka ditetapkan pada kadar RM15 (dewasa) dan RM9 (kanak-kanak).

Justeru itu, pihak kelab menawarkan diskaun hebat hampir 30% berserta manfaat tambahan kepada para peminat yang mendapatkan Pas Bermusim NSFC 2023.

Pas Bermusim NSFC 2023 ditawarkan dari serendah RM89 semusim sehingga RM2000 semusim. Manakala “corporate box” juga ditawarkan berdasarkan permintaan terus kepada pihak kelab.

Tempahan Pas Bermusim NSFC 2023 boleh dibuat melalui store.nsfc1923.com bermula hari ini sehingga 24 Februari 2023.

Selain itu, pihak kelab dan penaja rasmi pakaian musim ini, KELME juga ingin mengesahkan bahawa kedua-dua kit baharu musim ini akan menampilkan ketiga-tiga warna negeri dalam rekaannya.

Kit berwarna merah akan kekal sebagai kit utama, manakala kit berwarna kuning akan digunakan di tempat lawan. Kedua-duanya akan dijual pada harga RM129 sehelai.

Kedua-dua kit ini akan dilancarkan secara dalam talian pada 18 dan 25 Februari, manakala Majlis Pengenalan Pasukan NSFC 2023 akan diadakan di GEMBOX Nilai pada 19 Februari 2023.

NSFC akan menentang Sri Pahang FC dalam aksi pertama Liga Super Malaysia 2023 pada 26 Februari di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Unit Pemasaran & Komersial
Negeri Sembilan Football Club