NSFC Tawar Penjimatan Minima 25 Peratus Untuk Pas Bermusim 2025/2026

Seremban, 28 Julai 2025 – Dalam usaha meningkatkan keterlibatan penyokong dan menjadikan stadium sebagai ruang inklusif untuk seluruh rakyat Negeri Sembilan, Negeri Sembilan FC (NSFC) hari ini mengumumkan pelancaran Pas Bermusim bagi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.

Salah satu penawaran paling menarik ialah diskaun minimum sebanyak 25 peratus bagi pembelian Pas Bermusim NSFC yang eksklusif untuk pemegang Kad Keahlian Hobin. Pas bermusim ini bukan sahaja memberikan nilai lebih berbanding pembelian tiket perlawanan secara berasingan, malah turut merangkumi akses kepada perlawanan tambahan seperti Pusingan Kedua Piala FA atau Piala Malaysia sekiranya pasukan layak.

Sebagai contoh, tiket terbuka bagi 12 perlawanan di laman sendiri berharga RM20 setiap satu akan berjumlah RM240. Namun, dengan pas bermusim, peminat hanya perlu membayar RM179, penjimatan lebih 25 peratus dari harga asal, selain turut mendapat akses ke perlawanan Piala FA atau Piala Malaysia.

Untuk tempat duduk terbuka, harga pas bermusim bagi dewasa ialah RM179, manakala bagi remaja dan kanak-kanak berusia 7 – 17 tahun pula dijual pada harga RM89. Bagi yang memilih keselesaan di astaka, harga pas untuk dewasa ialah RM309 dan RM129 untuk remaja serta kanak-kanak yang berusia 7 – 17 tahun.

Selain itu, NSFC turut menawarkan pakej korporat kepada organisasi atau individu yang ingin menikmati pengalaman tontonan eksklusif. Pakej VIP Terpilih ditawarkan pada harga RM1,200 bagi setiap unit, dengan hanya 20 unit disediakan. Manakala bagi pakej Corporate Box, hanya 2 unit ditawarkan dengan harga RM20,000 setiap satu unit.

Ia sejajar dengan aspirasi kelab untuk memperkukuh hubungan dengan komuniti serta merancakkan semangat “Demi Negeri” dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan. Tambahan pula, inisiatif ini juga melibatkan penawaran kemasukan percuma kepada murid-murid sekolah rendah terpilih bagi memupuk minat terhadap bola sepak dari usia muda. Langkah ini dijangka akan memberi kesan positif kepada peningkatan kehadiran penyokong, disamping mengukuhkan lagi hubungan antara NSFC dan komuniti khususnya generasi muda. Ia juga membantu menambah nilai kepada kad keahlian Hobin selari dengan strategi pemasaran kelab, selain menarik pelaburan korporat kepada kelab.

Penyokong yang ingin menikmati keistimewaan ini disarankan untuk mendaftar sebagai pemegang kad Hobin dan mendapatkan pas bermusim sebelum sepak mula musim baharu.

Dalam perkembangan lain, Negeri Sembilan FC yang kini dibimbing Nidzam Jamil giat menjalani persiapan pra-musim dan akan membuka tirai kempen Liga Super 2025/2026 bertemu Johor Darul Ta’zim FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 12 Ogos 2025.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us