Negeri Sembilan Football Club (NSFC) melalui satu kenyataan menawarkan syarikat perniagaan dan pengusaha Industri Kecil & Sederhana (IKS) di Negeri Sembilan peluang untuk turut serta dalam usaha menyokong dan memajukan pasukan bola sepak NSFC melalui pakej tajaan “Corporate Jangs”.
NSFC merupakan kelab bola sepak profesional dan setakat hari ini memiliki 6 pasukan di bawah kendalian mereka iaitu Liga Super Malaysia, Piala MFL (B-23), Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-18), dan Akademi NSFC (B-12 dan B-10).
Secara tambahan, SMK Za’ba juga diiktiraf sebagai sebahagian daripada Akademi NSFC, dengan pasukan dari peringkat umur 13 hingga 17 tahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, penajaan dari syarikat IKS akan membantu NSFC dalam pelbagai aspek seperti pembangunan bakat muda dan penyediaan kemudahan latihan yang lebih baik.
“NSFC bukan sekadar pasukan bola sepak. Ia adalah simbol perpaduan dan kebanggaan rakyat Negeri Sembilan. Penajaan membantu mengukuhkan rasa kebersamaan ini dan menunjukkan kelab ini milik kita semua.
“Penajaan juga akan membantu mengukuhkan struktur dan kewangan kelab. Kita dapat melaksanakan pelbagai program pembangunan disamping membantu mengukuhkan misi kelab untuk mengecapi kejayaan dalam jangka masa panjang.
“Kekuatan NSFC adalah sokongan dari peminatnya. Pastinya sebarang kerjasama dan penajaan akan menitikberatkan kepentingan pasukan, penyokong, pelabur dan rakyat Negeri Sembilan. Kini, dengan tawaran serendah RM10,000, segalanya mampu direalisasikan.
“Ini juga merupakan satu peluang buat ahli perniagaan dan usahawan IKS meluaskan jaringan perniagaan mereka,” katanya lagi.
Selain beraksi dalam Liga Malaysia, NSFC juga giat menjalankan program pembangunan bola sepak melalui penganjuran Liga Suparimau dan Liga Elit KELME Negeri Sembilan B-17.
NSFC telah menjalin hubungan kerjasama yang kukuh dengan pelbagai syarikat dan organisasi sebagai Penaja Rasmi dan Rakan Rasmi.
Matrix Concepts Holdings Berhad, Negeri Roadstone Sdn Bhd, Seremban Engineering Berhad, Gemencheh Granite Sdn Bhd dan Tuah Hartamas Development Sdn Bhd merupakan Penaja Rasmi NSFC bagi musim 2024-2025.
Kerajaan negeri juga turut terlibat dalam menyokong pasukan bola sepak tempatan dengan menyertai sebagai Penaja Rasmi melalui Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan).
Manakala Rakan Rasmi pula terdiri dari KELME, ONEXOX, Kapten Gym, IRC Arena, Duopharma, UH Medical, Abstrax, ATF Sport Taping, KR Travel & Tour, TP Total Protection Insurance Agency, Cobra Gym dan Klana Resort.
Kerjasama ini bukan sahaja membawa manfaat kepada skuad bola sepak NSFC, tetapi ia menunjukkan satu perkembangan yang positif dalam industri sukan di Negeri Sembilan.

