Negeri Sembilan FC Umumkan Azmi Mohamed Sebagai Ketua Jurulatih Bawah 18 Tahun (Piala Belia)

Seremban, 26 April 2025 – Negeri Sembilan Football Club (NSFC) hari ini dengan bangganya mengumumkan pelantikan bekas pemain kebangsaan dan Negeri Sembilan, Azmi Mohamed sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Bawah 18 Tahun bagi menghadapi kempen Piala Belia 2025.

Azmi Mohamed bukan nama asing dalam arena bola sepak tempatan. Beliau pernah beraksi bersama beberapa pasukan terkemuka negara termasuk Negeri Sembilan, Johor FA, dan Pahang FA, dengan reputasi sebagai penyerang yang rajin, konsisten dan tajam dalam penyudah.

Selepas menggantung but, beliau meneruskan legasi dalam dunia kejurulatihan, antaranya pernah membimbing Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Felda United dan menggalas tugas sebagai jurulatih sementara JDT pasukan utama, di mana beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat muda.

Pelantikan ini melambangkan komitmen Negeri Sembilan FC untuk terus memperkukuh pembangunan akar umbi, dengan harapan dapat melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu menyinar di peringkat negeri dan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Sembilan FC, Faliq Firdaus, berkata: “Kepulangan Azmi Mohamed ke Negeri Sembilan bukan sahaja membawa pengalaman yang luas, malah memberikan inspirasi kepada generasi muda kita. Kami yakin di bawah bimbingan beliau, pasukan Bawah 18 Tahun akan berkembang dengan lebih cemerlang dan berdaya saing.”

Skuad ‘Jang Mudo’ bawah 18 tahun dibarisi pelatih Kolej Yayasan Negeri Sembilan (KYNS) yang berpangkalan di Gentam, Kuala Pilah.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us