PENGUMUMAN RASMI PELANTIKAN PENGERUSI NEGERI SEMBILAN FOOTBALL CLUB

Seremban, 12 Jun – Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), YTM Tunku Syed Razman Ibni Tunku Syed Idrus Al-Qadri dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan YAB Dato’ Seri Utama Hj Aminuddin bin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan sebagai Pengerusi Negeri Sembilan Football Club (NSFC) yang baharu.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh struktur tadbir urus bola sepak Negeri Sembilan, khususnya menerusi pengasingan peranan yang jelas antara PBNS sebagai badan induk bola sepak negeri dan NSFC sebagai entiti profesional yang menguruskan pasukan profesional.

Dengan pelantikan ini, PBNS kini dapat memberi tumpuan penuh dalam memperkasakan pembangunan akar umbi dan struktur bola sepak negeri – termasuk pembangunan belia, kejohanan tempatan, dan kejurulatihan – manakala NSFC akan terus digerakkan sebagai kelab profesional yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan serantau.

Menurut YTM Tunku Syed Razman:

“YAB Dato’ Seri Aminuddin membawa bersama pengalaman kepimpinan yang luas serta visi yang progresif untuk bola sepak Negeri Sembilan.

“Peranan beliau sebagai Pengerusi NSFC diyakini akan memperkukuh hubungan strategik antara Kerajaan Negeri, PBNS dan pihak berkepentingan dalam usaha menjadikan NSFC sebagai kelab berprestasi tinggi, mampan dan dihormati.”

YTM Tunku Presiden turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri atas kesudian menerima pelantikan ini dan menyifatkan ia sebagai permulaan era baharu bola sepak Negeri Sembilan yang lebih profesional dan inklusif.YAB Dato’ Seri Utama Hj Aminuddin bin Harun menyifatkan pelantikan beliau sebagai satu amanah yang besar.

“Saya berbesar hati menerima pelantikan sebagai Pengerusi Negeri Sembilan Football Club (NSFC), sebuah institusi bola sepak yang bukan sahaja membentuk legasi dalam arena sukan tanah air, tetapi juga menjadi kebanggaan rakyat Negeri Sembilan.

“Bola sepak bukan sekadar sukan, ianya adalah wahana perpaduan, identiti negeri, dan platform pembangunan belia yang mampu menyatukan seluruh lapisan masyarakat.

“Justeru itu, saya mengajak seluruh penyokong, penaja, dan rakan strategik untuk bersama-sama membina semula kekuatan NSFC. Dengan semangat setiakawan dan iltizam yang tinggi, saya yakin Negeri Sembilan mampu kembali sebagai pasukan yang kompetetif di peringkat kebangsaan”.

Negeri Sembilan Football Club akan memulakan saingan Liga Malaysia 2025/2026 bermula Ogos ini.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us