Paroi, 17 Julai 2025 — Negeri Sembilan FC (NSFC) bakal melayani kunjungan kelab dari Indonesia, Semen Padang FC dalam aksi persahabatan Piala Serumpun yang akan berlangsung pada Isnin, 21 Julai 2025, jam 9 malam di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Pertemuan ini bukan sekadar aksi biasa, malah merupakan simbol jalinan erat antara dua negara berjiran yang berkongsi banyak persamaan dari segi bahasa, budaya dan nilai sosial. Ia menjadi platform memperkukuh hubungan serumpun melalui sukan bola sepak, dalam suasana penuh semangat dan persaudaraan.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu dua kali sebelum ini pada penghujung tahun 2012. Ketika itu, Semen Padang menewaskan Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan pertama, manakala skuad Jang membalas dengan kemenangan 1 – 0 dalam aksi kedua di Paroi.
Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil menganggap perlawanan ini bukan sahaja penting dari sudut persiapan pasukan, tetapi juga sebagai jambatan silaturrahim antara dua wilayah serumpun.
“Perlawanan ini membawa nilai yang cukup besar. Ia mencerminkan hubungan baik antara dua negara serumpun, bukan hanya dari sudut bola sepak tetapi juga dari aspek sosial dan budaya. Negeri Sembilan dan Padang berkongsi sejarah yang kuat, dan perlawanan ini menjadi satu bentuk penghargaan terhadap warisan itu.
“Dari aspek bola sepak pula, kami akan menurunkan barisan terbaik. Kami mahu menang kerana setiap perlawanan, sama ada persahabatan atau kompetitif, perlu disertai dengan mentaliti kemenangan. Itu penting dalam pembentukan karakter pasukan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, pemain pertahanan berpengalaman Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee turut melahirkan keterujaan untuk turun beraksi dalam perlawanan ini.
“Sebagai pemain, kami amat menghormati pasukan Semen Padang. Mereka datang dengan reputasi besar di Liga Indonesia dan kami menjangkakan aksi yang sengit dalam perlawanan ini.
“Ini bukan sekadar perlawanan biasa, ia melibatkan semangat serumpun. Kami mahu berikan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri dan pastikan Negeri Sembilan FC melakar kemenangan,” ujarnya.
Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Pengerusi NSFC, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Bin Harun dijangka hadir ke perlawanan ini dan akan menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Perlawanan ini dianjurkan oleh Negeri Sembilan FC, dengan kerjasama 2Touch International dan Nnine Sport Inc, yang masing-masing berpangkalan di Indonesia dan Singapura.
Penyokong setia NSFC dijemput hadir beramai-ramai ke stadium bagi menyemarakkan dan memberi sokongan kepada pasukan dalam perlawanan ini. Tiket perlawanan boleh dibeli secara atas talian menerusi www.tickethotline.com.my.