Seremban, 20 Julai – Paroi bakal menyaksikan satu pertembungan istimewa membabitkan dua pasukan serumpun apabila Negeri Sembilan FC menerima kunjungan Semen Padang FC dari Indonesia dalam aksi edisi Piala Serumpun 2025, yang bakal berlangsung pada 21 Julai 2025 (Isnin), jam 9 malam.
Perlawanan ini bukan sekadar aksi pra musim, malah membawa mesej persahabatan dan semangat kesukanan antara dua kelab berbeza negara yang berkongsi bahasa dan budaya yang sama.
Ketua Jurulatih Semen Padang FC, Eduardo Almeida menyatakan bahawa perlawanan ini akan digunakan sepenuhnya bagi memberi minit permainan kepada semua pemain dalam pasukannya.
“Saya akan bahagikan kepada dua pasukan, satu akan bermain pada separuh masa pertama dan satu lagi pada separuh masa kedua. Matlamat utama saya ialah untuk memberi minit permainan kepada semua pemain. Namun begitu, saya tetap mahu mereka menunjukkan aksi terbaik selain memahami sistem dan taktikal permainan,” ujar beliau.
Sementara itu, bagi Ketua Pasukan Semen Padang FC, Rosad Setiawan beliau berpendapat perlawanan ini penting sebagai permulaan kepada musim kompetitif mereka.
“Kami memiliki ramai pemain baharu dan saya rasa itu bagus. Kita tahu pasukan di Liga Malaysia sangat baik. Kita serius mahu memenangi perlawanan ini dan menganggapnya seperti aksi liga sebenar. Kepada penyokong Semen Padang FC, mari kita sama-sama nikmati perlawanan ini,” katanya.
Bagi Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil, beliau melihat perlawanan ini sebagai satu platform penting untuk menilai persiapan pasukan menjelang saingan liga.
“Kita sedang dalam fasa persiapan. Ini adalah perlawanan ke-6 pra musim dan ia penting untuk aspek fizikal dan persefahaman dalam pasukan. Dalam masa yang sama, kita ingin cuba untuk aplikasikan perancangan taktikal kita untuk liga.
“Kita juga mahu menjadi lebih dinamik dalam bertahan dan menyerang. Selain itu, perlawanan ini juga bagus untuk hubungan dengan ‘sepupu’ kita dari Semen Padang,” jelas beliau.
Ketua Pasukan Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee turut berkongsi harapannya agar perlawanan ini dapat dijadikan ruang untuk meningkatkan keserasian pasukan.
“Suasana dalam pasukan sangat baik dan saya harap ia berterusan sepanjang musim. Saya juga berharap semua pemain memberikan kerjasama dan fokus dalam setiap perlawanan. Piala Serumpun ini adalah peluang untuk kita beraksi baik demi pasukan dan penyokong,” ujarnya.
Dengan semangat kekeluargaan serantau yang dibawa melalui perlawanan ini, Piala Serumpun bukan sekadar aksi persahabatan, tetapi menjadi simbol hubungan akrab antara dua pasukan dan penyokong yang berkongsi akar budaya yang sama.
Ia memberi peluang kepada kedua-dua pasukan untuk menguji taktikal, memperkemaskan permainan serta membina momentum menjelang musim kompetitif yang bakal bermula. Kehadiran Semen Padang FC sebagai tetamu istimewa turut memberi warna tersendiri kepada perlawanan ini.