Negeri Sembilan Football Club (NSFC) baru-baru ini menandatangani perjanjian penajaan ‘Corporate Jangs’ bersama Pusat Latihan Memandu Rembau dalam satu majlis yang berlangsung di Kota, Rembau.
Kerjasama ini dijangka memberi nilai tambah kepada NSFC dalam pelbagai aspek bola sepak termasuk pengurusan pasukan, operasi harian dan pelaksanaan aktiviti yang melibatkan kelab. Ia juga mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak untuk menyokong sukan bola sepak, khususnya di Negeri Sembilan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, penajaan ‘Corporate Jangs’ dari Pusat Latihan Memandu Rembau akan membantu NSFC dalam pelbagai aspek seperti pembangunan bakat muda dan penyediaan kemudahan latihan yang lebih baik.
“Kita dapat melaksanakan pelbagai program pembangunan disamping membantu mengukuhkan misi kelab untuk mengecapi kejayaan dalam jangka masa panjang. Ini juga merupakan satu peluang buat ahli perniagaan dan usahawan IKS seperti Pusat Latihan Memandu Rembau untuk meluaskan jaringan perniagaan mereka.
“Tajaan ini amat bermakna buat kelab dalam meneruskan operasi harian dan pengurusan pasukan. Ia amat kami hargai,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Pusat Latihan Memandu Rembau, Dato’ Hj Mohd Yusof Aziz, turut melahirkan rasa bangga untuk terlibat dalam penajaan pasukan ini. “Kami memberi sumbangan sebagai satu tanggungjawab sosial. Kita ingin melihat bola sepak Negeri Sembilan lebih berjaya di masa hadapan. Sekurang-kurangnya kami membantu memberikan suntikan semangat,” ujar beliau.
“Saya berharap agar pasukan Negeri Sembilan FC akan berdaya saing seperti pasukan-pasukan lain,” katanya lagi.
Majlis menandatangani perjanjian kerjasama ini diakhiri dengan sesi bergambar dan simbolik penyerahan jersi berserta plakad dari Negeri Sembilan FC kepada Pusat Latihan Memandu Rembau.
Program penajaan ‘Corporate Jangs’ ini telah diperkenalkan sejak Jun lepas. Ia menawarkan peluang bagi syarikat perniagaan dan pengusaha Industri Kecil & Sederhana (IKS) di Negeri Sembilan untuk turut serta dalam usaha menyokong dan memajukan bola sepak di Negeri Sembilan.

