Negeri Sembilan FC (NSFC) hari ini sah menandatangani penyerang baharu, Ricardo Pires, dalam usaha pasukan menghadapi baki cabaran musim ini.
Menurut Ketua Jurulatih NSFC, K.Nanthakumar, kehadiran Ricardo ke dalam skuad Jang akan melengkapkan kombinasi pemain barisan hadapan sedia ada seperti Takumi Sasaki, Hein Htet Aung, dan Jacque Faye. “Saya yakin Ricardo mampu menghasilkan sesuatu untuk pasukan, ditambah dengan kelincahan Takumi sebagai pemain yang kreatif, kepantasan Hein di sayap, dan kekuatan fizikal yang dimiliki Jacque Faye,” katanya.
“Kami percaya bahawa kerjasama antara Ricardo dan pemain-pemain lain akan membolehkan pasukan kami beraksi dengan lebih berkesan. Setiap pemain mempunyai kekuatan tersendiri dan saya yakin mereka akan saling melengkapi,” tambahnya.
“Kita perlu memperbaiki kedudukan dalam carta liga dan saya harap kombinasi baharu barisan hadapan mampu mencipta kejayaan,” katanya lagi.
Kemasukan Ricardo Pires diharapkan bukan sahaja memberi nafas baharu kepada serangan NSFC, tetapi juga mencetuskan semangat yang lebih tinggi dalam kalangan pemain dan penyokong skuad Jang. Beliau dijangka akan membuat penampilan pertama dalam perlawanan Liga Super menentang Kelantan Darul Naim FC yang akan berlangsung di Paroi pada 27 September ini.