Sebastian Avanzini Sertai Negeri Sembilan FC, Perkukuhkan Jentera Tengah Pasukan

Negeri Sembilan FC hari ini mengumumkan pemain import baharu mereka, Sebastian Avanzini untuk membantu meneruskan cabaran pasukan itu dalam saingan Liga Super musim 2024-2025. Bermain di posisi tengah, Avanzini bukanlah asing dalam bola sepak Malaysia. Pemain berusia 29 tahun ini pernah mewakili KL City FC pada musim 2023. Beliau beraksi dalam 31 perlawanan bersama pasukan itu dan telah mencatatkan 2 gol serta 4 bantuan gol.

Menurut Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC, K.Nanthakumar, beliau gembira dengan kehadiran Avanzini ke dalam pasukan, yang pastinya memberi suntikan kualiti terutamanya pada bahagian tengah.

“Beliau membawa pengalaman yang luas, dan kami yakin kemahirannya serta kebolehannya di atas padang akan memberi impak yang besar kepada pasukan,” katanya.

“Kami (barisan kejurulatihan) akan membantu beliau menyesuaikan diri dengan sistem permainan kami. Dia telah mula turun berlatih bersama pasukan dan menunjukkan komitmen yang baik dalam sesi latihan.

“Penambahan pemain ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk bersaing dalam liga, dan kami percaya Avanzini dapat membantu kami mencapai matlamat tersebut,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Negeri Sembilan FC akan bertandang ke Stadium Bandaraya pada Ahad ini dalam perlawanan Liga Super menentang Penang FC.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us