Skuad Jang Tunjuk Karakter, Bangkit Daripada Ketinggalan Dua Gol

Negeri Sembilan FC mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mencatat keputusan seri 2-2 menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Kuching City bermula garang apabila hanya memerlukan lapan minit untuk membuka tirai jaringan menerusi Danial Asri, yang menyudahkan bola lorongan Daniel Amier.

Disaksikan 24,478 penyokong setia yang membanjiri stadium, skuad Jang tidak berputus asa. Anak buah Nidzam Jamil cuba bangkit dengan melancarkan beberapa siri serangan ke arah gawang Kuching City FC, namun ketumpulan penyudah dan kekebalan benteng lawan menyaksikan kedudukan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Babak kedua bermula dengan satu lagi ujian buat tuan rumah apabila Kuching City FC menambah jaringan melalui Wanja Ronald Ngah pada minit ke-47, sekaligus melebarkan jurang buat kedua-dua pasukan. Enggan menyerah kalah, Nidzam Jamil melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan Hakimi Abdullah dan Mio Tsuneyasu yang nyata memberi impak besar kepada permainan.

Hasil asakan berterusan, Negeri Sembilan FC akhirnya merapatkan jurang pada minit ke-78 menerusi sentuhan penyerang berbisa, Joseph Esso. Paroi kemudian bergema lagi apabila Luis Enrique Nsue menanduk masuk sepakan penjuru Hakimi Abdullah dalam masa kecederaan untuk memastikan skuad Jang mengutip satu mata berharga.

Satu lagi malam yang penuh emosi di Paroi.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us