UiTM Jalin Kerjasama Untuk Pembangunan Bola Sepak Negeri Sembilan

NSFCNews

Seremban, 18 Oktober 2022 – Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mengorak langkah dalam memperkasakan kerjasama dua hala bersama rakan industri tanah air. Kali ini, UiTM menerusi Fakulti Sains Sukan & Rekreasi, Kampus Seremban telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama dengan Negeri Sembilan Football Association (PBNS) dan Negeri Sembilan Football Club (NSFC). Majlis menandatangani memerondum persefahaman ini turut dihadiri sendiri oleh YTM Kol (K) Tunku Syed Razman bin Tunku Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin, Presiden Bolasepak Persatuan Negeri Sembilan merangkap Pengerusi Negeri Sembilan Football Club.

Antara intipati memorandum persefahaman yang dijalankan adalah persetujuan kedua-dua belah pihak untuk penyediaan dan penerimaan pelajar praktikal diploma dan ijazah dari UiTM, memberi perkhidmatan rundingan dan khidmat pakar, menerima staf dan pelajar bagi tujuan penyelidikan dan bersetuju bersama untuk mengadakan simposium, konferensi, kursus pendek dan mesyuarat berkaitan isu-isu berkaitan sukan, akademik dan penyelidikan. Memorandum persefahaman ini bakal memberi impak berkesan dalam pembangunan pengajian tinggi serta dalam bidang sukan khusus buat warga sukan di UiTM.

“Kerjasama ini juga turut melibatkan perkongsian maklumat, kepakaran dan kaedah penyelesaian dalam sukan bolasepak bagi tujuan memudahkan proses kerja dan penyelidikan melalui aktiviti rundingan kerjasama dan konsultansi. MoU yang dimeterai hari ini dijangka dapat melibatkan perkongsian infostruktur dan infrastruktur secara dua hala yang seimbang di antara PBNS dan NSFC dengan UiTM Cawangan Negeri Sembilan. – Professor Dr Yamin Yassin, Rektor Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan.

YTM Tunku Syed Razman pula menekankan bahawa PBNS kini lebih terarah kepada pembangunan kepengadilan, kejurulatihan, program pembangunan bakat muda dan pelbagai program pembangunan bola sepak di Negeri Sembilan manakala NSFC lebih menjurus ke arah pembentukan pasukan elit profesional yang akan bertanding di Liga Malaysia.

“Di bawah PBNS, liga-liga tempatan sudah mula diperkasakan bagi mencungkil bakat-bakat baru selain telah berjaya melahirkan ramai jurulatih dan pengadil baharu tahun ini dengan penganjuran pelbagai kategori kursus kejurulatihan dan kepengadilan. Malah, futsal dan bola sepak pantai juga tidak terkecuali.

“Demi memastikan matlamat ini dicapai, antara permulaan yang harus dilakukan adalah menjalinkan kerjasama strategik bersama pihak UiTM dalam aspek perkongsian idea atau kepakaran untuk sama-sama memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak. Kemudahan fasiliti sukan di UiTM juga dapat membantu meningkatkan lagi prestasi seseorang pemain untuk terus berusaha mencapai tahap yang terbaik”, ujarnya.

Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) merupakan di antara fakulti yang terdapat di Kampus Seremban selain Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) serta Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPP). Fakulti ini mempunyai kemudahan termasuk Gymnasium, Makmal Kecederaan dan Makmal Motor Learning yang dijangka memberi manfaat kepada warga NSFC, NSFA dan masyarakat setempat.