Negeri Sembilan FC meneruskan rentak kemenangan

Negeri Sembilan FC meneruskan rentak kemenangan mereka apabila menundukkan lawan, Kuala Lumpur City FC 2 – 1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Pada awal babak perlawanan, pasukan KL City FC dilihat agresif apabila menguasai permainan. Mereka memiliki sekurang-kurangnya 2 peluang untuk menghasilkan jaringan, namun kecemerlangan penjaga gol Negeri Sembilan FC, Ahmad Syihan Hazmi berjaya menafikan gawang Negeri Sembilan FC dari dibolosi.

Negeri Sembilan FC turut memiliki 2 peluang untuk menghasilkan jaringan menerusi Izzudin dan Matheus Alves, namun peluang itu gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan.

Seminit selepas babak kedua perlawanan, pemain pertahanan Negeri Sembilan FC, Mark Guolon memecah kebuntuan apabila menanduk masuk bola sepakan penjuru Ketua Pasukan, Zaquan Adha.
Pasukan KL City FC cuba bangkit, malah memiliki peluang terbaik menerusi penyerang, Kevin Koubemba namun tandukan beliau sedikit tersasar ketika gawang Negeri Sembilan FC telah terbuka.

Usaha KL City FC mencari gol penyamaan akhirnya berhasil pada minit ke-74. Gol itu berpunca dari situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Negeri Sembilan FC dan bola terbias kepada pemain Negeri Sembilan FC.

Negeri Sembilan FC tidak menunggu lama untuk kembali mendahului perlawanan apabila penjaga gol KL City FC, Kevin Ray Mendoza gagal menumbuk kemas bola percubaan Namathevan, sebelum Mark Guolon melepaskan satu rembatan untuk gol kedua Negeri Sembilan FC.

Dengan kemenangan ini, Negeri Sembilan FC naik ke tangga ke-4 liga dengan mengumpul sebanyak 11 mata.

Share this
© 2025 Negeri Sembilan Football Club. All rights reserved
Careers Facilities Contact Us