Liga Super 2022: Negeri Sembilan FC menentang Kedah Darul Aman FC

NSFCNews Leave a Comment

Semalam telah berlangsung perlawanan Liga Super 2022 ke sembilan diantara pasukan tuan rumah Kedah Darul Aman FC menentang pasukan Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman, Kedah. Sepak mula bermula tepat pada pukul 9.00 malam waktu tempatan.

Pasukan bimbingan K.Devan yang kalah pada perlawanan sebelum ini menentang JDT nampak bersemangat dalam meneruskan saingan Liga Super 2022. NSFC berjaya menurunkan pemain utamanya Herold Goulon dalam perlawanan kali ini. Manakala satu lagi pemain import NSFC, Omid Nazari mengalami kecederaan ketika aksi memanaskan badan dan penyerang import utama mereka Matheus Alves tidak dapat menyertai skuad NSFC kerana dilayangkan kad merah pada perlawanan sebelum itu. Pasukan tuan rumah yang rekodnya tidak begitu baik sekarang ini juga cuba untuk mencari semula rentak kemenangan. Mereka gagal untuk mendapatkan tiga mata dan bolos sembilan gol pada tiga perlawanan sebelum perlawanan semalam.

Pada separuh masa pertama, kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati. Padang agak basah dan licin menyukarkan pemain daripada dua-dua pasukan untuk mengawal bola seawal permainan. Tidak banyak percubaan bahaya datang daripada pihak pelawat mahupun tuan rumah. Keputusan berakhir tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Aksi separuh masa kedua nampak lebih mengasyikkan dengan pihak tuan rumah mula mendapat rentak.
K.Devan menukar taktikal pada minit ke-70 permainan dengan menggantikan beberapa pemain seperti Sean Selvaraj dan Selvan Anbualagan. Ianya mula menampakkan hasil sejurus selepas itu. Walaubagai manapun, tiada jaringan berjaya dibuat walaupun terdapat percubaan-percubaan ke gawang gol. Penjaga gol kedua-dua pasukan beraksi cemerlang menjaga kubu masing-masing dan keputusan berkesudahan NSFC berkongsi mata dengan KDAFC kosong-kosong tanpa jaringan.

Bercakap kepada pemberita, K.Devan sedikit kecewa kerana tidak berjaya mengutip mata penuh pada perlawanan kali ini. Beliau menjelaskan NSFC berjaya mencipta peluang keemasan dan beberapa kali melolosi benteng pertahanan KDAFC. Namun demikian, anak buahnya tidak dapat memanfaatkan peluang-peluang tersebut lantas hanya pulang ke Paroi dengan berkongsi satu mata.

Liga akan berehat selama sebulan lantas memberi masa kepada anak-anak buah K.Devan untuk kembali fokus dan membuat proses pemulihan. Liga akan bermula semula dan NSFC akan bertandang ke Stadium Hang Jebat menentang Melaka United FC.

NSFC kini berada di tempat ketiga. Berkongsi mata sebanyak 15 mata dengan Sabah di tempat kedua dan JDT di tempat pertama. Namun Sabah yang baharu sahaja menang 4-2 di City Stadium Penang mempunyai baki satu lagi perlawanan. KDAFC pula jatuh satu anak tangga ketempat keempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *